KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan baharu dan sedia ada perlu dinilai dan diaudit oleh pelbagai peringkat di dalam Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sebelum diberikan ataupun diperbaharui Lesen Perkhidmatan Udara (ASL), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata antara aspek utama yang perlu dilihat ialah kemampuan kewangan syarikat terbabit.

"Kemampuan dari segi operasi tiga hingga enam bulan itu dilihat - kalau cash flow mereka tidak cukup kuat, kemungkinan lesen itu tidak dapat diperbaharui ataupun hanya satu tempoh yang pendek sahaja akan diberikan," katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dari Senator Datuk Kesavadas A. Achyuthan Nair mengenai aspek yang akan diaudit bagi memastikan syarikat penerbangan mematuhi syarat pelesenan sebelum dan selepas memulakan operasi mereka.

Katanya perkara ini akan memberikan perlindungan kepada penumpang yang telah membeli tiket penerbangan, dan apa yang berlaku terhadap syarikat MYAirline sebelum ini tidak berlaku lagi di masa akan datang.

Terdahulu Loke berkata pihak MAVCOM tidak mensyaratkan keperluan bagi syarikat penerbangan baharu ataupun sedia ada yang telah mendapat Lesen ASL untuk meletakkan deposit dengan MAVCOM.

"Syarat berkenaan tidak diamalkan dalam industri penerbangan atau oleh pihak berkuasa penerbangan mana-mana negara lain," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri S.Vell Paari.

-- BERNAMA